PUTRAJAYA, 28 Sept – TPM Umum Ketua Kluster Dakwah Baru…… Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Dr Mahfodz Mohamed dilantik sebagai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI)
berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan bagi menggantikan penyandang, Allahyarham Datuk Dr Haron Din, itu
diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa
berucap merasmikan Multaqa Ekonomi MPI di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pemilihan Mahfodz diyakini dapat membawa kluster dakwah
itu ke arah usaha penyatuan ummah dengan berkesan seperti peranan yang dimainkan
penyandangnya sebelum ini.

“Kluster dakwah kehilangan seorang tokoh. Pada hemat saya, ia harus
digantikan oleh seorang lagi tokoh yang boleh membawa kluster ini ke arah
penyatuan ummah dengan keupayaan mengetepikan kobilah, fahaman dan perbezaan
politik demi kemaslahatan (manfaat) ummah secara keseluruhan,” katanya.

Allahyarham Haron, 76, yang juga Mursyidul Am PAS, yang dilantik mengetuai
kluster dakwah pada Januari lepas, meninggal dunia di Hospital Stanford
University, San Francisco di Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung pada 16
Sept lepas.

Ahmad Zahid berkata pelantikan Mahfodz dibuat bukan berasaskan parti politik
atau organisasi yang disertainya tetapi atas kepercayaan MPI terhadap keupayaan
Pesuruhjaya PAS Johor itu menerajui multaqa dan melontarkan pandangan kepada
kerajaan dan sektor lain ke arah mewujudkan penyatuan ummah.

Timbalan perdana menteri berkata walaupun tidak menghubungi Mahfodz secara
langsung namun percaya beliau akan menerima pelantikan itu demi kemaslahatan
ummah.

Ditubuhkan atas inisiatif Ahmad Zahid sendiri, MPI yang dianggotai tokoh
daripada pelbagai latar belakang meliputi ahli agama, ahli akademik, tokoh
korporat dan pemimpin badan bukan kerajaan berperanan sebagai kumpulan pemikir
bagi membantu kerajaan dalam memberi cadangan ke arah melaksanakan agenda
pembangunan negara menurut landasan syarak.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menerima resolusi multaqa mengandungi
lima saranan dalam usaha mengintegrasikan sistem ekonomi, antaranya membangunkan
institusi waqaf korporat, menjadikan syarikat berkaitan kerajaan sebagai
institusi korporat amanah dan menubuhkan profesion audit halal global.

LEAVE A REPLY