LANGKAWI, 20 MAC – BATAL….. Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengarahkan syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd (DSSSB) menghentikan semua perkhidmatan feri penumpang dari tanah besar ke pulau ini.

Unit Korporat JLM menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam, memaklumkan pembatalan perkhidmatan feri penumpang milik syarikat itu berkuat kuasa kelmarin.

Menurut kenyataan itu, arahan pembatalan itu membabitkan perjalanan dari Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

“Susulan pembatalan slot ini, pihak syarikat adalah dilarang menjalankan sebarang pengoperasian feri penumpang di Terminal Penumpang Kuah, Langkawi, Kuala Kedah, Kedah dan Kuala Perlis, Perlis.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan rekod perkhidmatan syarikat serta tahap pengurusan keselamatan feri penumpang yang tidak memuaskan, seterusnya ia menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang,” kata kenyataan itu.

Arahan penamatan itu dipercayai dibuat susulan kejadian 52 penumpang feri milik syarikat itu, Dragon Star 1 yang berhadapan detik cemas selepas feri itu terbakar sebaik bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi, pada 25 Februari lalu. – WD MY