KUALA LUMPUR, 24 Mac – DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) telah melantik
Datuk Ahmad Fuaad Mohd Kenali sebagai Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Eksekutif
PROTON Holdings Bhd yang baharu berkuatkuasa 1 April tahun ini.

DRB-HICOM dalam satu kenyataan hari ini berkata Ahmad Fuaad yang merupakan
Ketua Pegawai Operasi-Kewangan dan Korporat DRB HICOM, telah pun berada dalam
lembaga PROTON sebagai Pengarah Bukan Eksekutif sejak 2013.

DRB-HICOM, yang memiliki kepentingan besar dalam PROTON, berkata ia juga
melantik Datuk Md Radzaif Mohamed, Ketua Pegawai Operasi Pengedaran Automotif
dan Pembuatan kumpulan itu sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON/
Pengarah Eksekutif berkuatkuasa 1 April depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Datuk Abdul Harith Abdullah
akan meneraju DRB-HICOM sebagai Ketua Pegawai Operasi untuk Pengedaran
Automotif dan Pertahanan berkuat kuasa 1 April.

Kumpulan itu juga telah memindahkan Shamsuddin Mohd Yusof, Ketua Pegawai
Operasi HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd (HAMM) kepada sebagai
Ketua Pegawai Operasi Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd berkuat
kuasa 14 Mac.

Pengurus Besar, Operasi di HAMM, Ismail bin Pandak, dilantik sebagai
Pemangku Ketua Pegawai Operasi HAMM berkuat kuasa 14 Mac, katanya.

“Pergerakan sumber bakat dalaman ini adalah konsisten dengan dasar kumpulan
untuk sentiasa membangunkan keupayaan bagi membolehkan kumpulan syarikat
DRB-HICOM mengekalkan perspektif yang segar untul mengemudi kumpulan di bawah
persekitaran perniagaan semasa yang mencabar dan kompetitif,” kata Pengarah
Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Syed Faisal Albar. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY