KUALA LUMPUR, 19 Okt – Sidang Dewan Rakyat yang baharu bermesyuarat hari pertama hari ini sudah panas dengan pelbagai isu, malah dua anggota Parlimen DAP, iaitu Lim Lip Eng (Segambut) dan Gobind Sing Deo (Puchong) diarah keluar daripada persidangan Dewan Rakyat selepas enggan akur arahan Speaker.

Lim yang bangun bagi meminta penjelasan berhubung penolakan usulnya mengenai kenaikan kadar tol yang ditolak speaker sebelum itu, direhatkan selepas dikatakan sengaja mengganggu perjalanan mesyuarat selain mempertikai keputusan Speaker.

“Sejak bila bila saya tolak usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2) saya akan kaji balik…kalau saya sudah tolak sama ada dalam majlis atau kamar, keputusan itu adalah muktamad. Apabila Yang Berhormat berdiri (selepas dua usul lain dibentangkan), bermakna sengaja untuk ganggu peraturan mesyuarat,” kata Pandikar Amin.

Gobind direhatkan selepas beliau cuba mempertahankan tindakan Lim dan mempersoalkan kejujuran speaker dalam memutuskan usul yang dikemukakan anggota Parlimen selain enggan mendengar arahan Pandikar Amin yang memintanya duduk.

“Kalau Yang Berhormat tidak berniat untuk berkata demikian ketika ambil masa untuk tarik balik kenyataan itu. Kecuali sengaja untuk ganggu ganggu mesyuarat, saya tidak nampak alasan lain,” kata Pandikar Amin yang bertegas meminta Bentara mengiringi anggota Parlimen itu keluar dewan. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY