IPOH, NOVEMBER 2: PINGAT…Dua bekas atlet Perak yang banyak menyumbang jasa dalam arena sukan negara dianugerahkan pingat sempena sambutan Hari Keputeraan ke-62 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam.

Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 yang juga bekas atlet lompat tinggi negara, Loo Kum Zee @ Loh Kum Zee, 44, dan bekas atlet memanah negara, Mon Redee Sut Txi, 36, masing-masing menerima Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP).

Istiadat penganugerahan darjah bintang dan pingat itu akan disempurnakan Sultan Nazrin di Balairong Seri Istana Iskandariah pada 10 November depan.

Kum Zee adalah atlet lompat tinggi negara dan lompatan terbaik yang pernah dicatatkannya 2.24 meter pada Disember 1995 di Chiangmai, Thailand.

Kum Zee pernah memenangi pingat gangsa pada kejohanan peringkat Asia pada 1995, 1998, 2002 dan 2003 serta pernah mewakili negara pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat, namun gagal ke peringkat akhir.

Sementara itu, Mon Redee pula adalah bekas atlet memanah negara yang pertama layak mewakili negara ke Sukan Olimpik 2004 di Athens, Greece.

Beliau yang mewakili negara sejak 1999 hingga 2007 pernah memenangi beberapa pingat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, antaranya Sukan SEA, Kejohanan Terbuka Eropah dan SUKMA.

Mon Redee juga pernah dilantik sebagai jurulatih Sukan SEA pada 2013 dan jurulatih SUKMA. Beliau bertugas sebagai jurulatih di institusi pengajian tinggi sejak 2008 hingga sekarang.-MY WD