PETALING JAYA, 11 Feb – MAUT….. Dua beradik maut akibat ditetak selepas terbabit dalam perselisihan faham ketika menghadiri majlis sambutan hari lahir di perkarangan Blok B Flat Damansara Bistari dekat Seksyen 19 di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, lelaki berusia 44 dan 36 tahun yang berasal dari Batu 7, Jalan Damansara, dikatakan menghadiri majlis berkenaan yang diadakan di sebuah khemah di hadapan Blok B flat berkenaan, mulai tengah malam.

Difahamkan, lebih 30 tetamu termasuk wanita dan kanak-kanak mulanya makan malam di sebuah restoran berhampiran sempena sambutan hari lahir ke-21 seorang anak rakan mereka yang tinggal di flat sama.

Selepas selesai makan malam kira-kira jam 11.30 malam, kebanyakan tetamu lelaki tidak terus pulang, sebaliknya berkumpul sambil berbual dan minum termasuk minuman keras di khemah berkenaan termasuk kedua-dua mangsa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood, berkata kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran di antara dua beradik itu dengan tetamu lain di khemah terbabit.

“Ketika kejadian, kebanyakan mereka dikatakan berada dalam keadaan mabuk. Polis sedang mengenal pasti apakah punca sebenar pertengkaran namun perkara itu menyebabkan beberapa tetamu lain menyerang dua beradik itu dengan senjata tajam dipercayai parang.

“Kedua-duanya cedera parah akibat beberapa tetakan dan pasukan perubatan yang dikejarkan ke lokasi mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia,” katanya hari ini.

Ku Mashariman berkata, susulan kejadian itu, polis sudah menahan lapan individu termasuk seorang wanita, kesemuanya berusia sekitar 30-an hingga 50-an bagi membantu siasatan.

“Kebanyakan yang ditahan adalah tetamu majlis hari lahir berkenaan termasuklah penganjur majlis.

“Senjata yang dipercayai digunakan untuk menyerang mangsa turut ditemui di lokasi,” katanya.

Katanya, mayat dua beradik itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasatmengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang penduduk yang enggan dikenali memberitahu dia hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 5 pagi ini, ketika keluar rumah untuk ke tempat kerja.

“Saya tidak dengar sebarang bunyi bising, mungkin kerana kejadian itu berlaku ketika semua penduduk lain sedang lena.

“Penduduk di sini kenal baik dengan penganjur majlis hari lahir itu kerana dia juga sudah lebih 11 tahun tinggal di flat ini dan ada meminta kebenaran untuk mendirikan khemah bagi menjayakan majlis berkenaan,” katanya. – WD MY