SEREMBAN, 6 Okt – Seorang pekerja hotel dan rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen
di sini, hari ini atas tuduhan mencederakan isterinya menggunakan parang di Taman PD Utama,
Port Dickson, Khamis lepas.

Tertuduh, K Saravanan, 26, dan Ahamad Mohd Latif, 23, mengaku tidak bersalah
di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun, selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa
mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka bersama seorang lagi yang masih bebas,
didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa, D Megala, 24, menggunakan parang
dengan niat atau pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen
34 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit
kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syamimi Farhana Muhammad A Aziz memohon
bantahan terhadap sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh kerana mangsa di
dalam kes ini adalah isterinya dan ada kemungkinan untuk tertuduh menghampiri
mangsa dan mereka yang terlibat dalam kes ini.

Selain itu, Syamimi Farhana berkata kes ini juga melibatkan kepentingan awam
kerana kes tersebut sudah tersebar luas di media sosial.

Kamarudin kemudiannya tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap
tertuduh dan menetapkan 13 November hadapan untuk sebutan semula kes dan
pembentangan laporan perubatan mangsa.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY