KUALA LUMPUR, FEB 28 – DUA INISIATIF….Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan dua inisiatif baharu untuk warga dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pewujudan Amanah Saham Bumiputera Zulu (ASB-Z) dan Tabung Khas bagi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT)

Beliau berkata skim ASB-Z itu mampu menawarkan pulangan yang lebih berbanding skim ASB sedia ada.

Ia dilakukan dengan kerjasama Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) dengan bank itu menawarkan pakej pembiayaan untuk jangka masa lima hingga 10 tahun bernilai RM14,000 hingga RM140,000.

“Diharap ia akan berjaya memupuk budaya melabur dalam kalangan warga ATM dan meningkatkan taraf sosioekonomi mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis Amanat Menteri Pertahanan 2018 di sini, semalam.

Menurutnya untuk tabung khas BAKAT ATM, sebanyak RM815,000 akan diperuntukkan dan akan diagih mengikut jumlah keanggotaan BAKAT bagi setiap perkhidmatan.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata tujuh lagi inisiatif untuk warga awam Kementerian Pertahanan (Mindef) iaitu peruntukan 500 unit rumah yang bakal dibina di Sungai Besi di bawah inisiatif Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWip), Karnival Jualan Murah secara bulanan pada harga rendah daripada pasaran dan menaik taraf Taska Puspanita Mindef serta mewujudkan Rumah Transit dengan dana tambahan RM30,000. – MY WD