ARAFAH, OGOS 21: RIBUT…..KEJADIAN ribut pasir yang jarang berlaku ketika musim panas di Arafah, semalam, mencemaskan sekumpulan jemaah Haji Malaysia selama dua jam.

Angin kencang itu bermula ketika matahari mulai terbenam dalam keadaan jemaah haji tidak menyangka kawasan itu akan dibadai ribut.

Seorang jemaah, Amirullah Ikrami yang sempat dihubungi, hari ini menceritakan detik cemas ketika kejadian itu berlaku.

“Pada waktu itu hujan turun dalam keadaan tidak lebat tetapi selepas hujan berhenti datang angin berpusar, berpasir, semakin lama semakin kuat.

“Kami semua bertawakal kepada Allah dan dapat dipastikan dalam lebih kurang dua jam selepas itu baru berhenti angin tersebut,” katanya.

Amirullah turut memohon rakyat Malaysia mendoakan kelancaran jemaah menunaikan rukun Islam yang kelima itu.

Sementara itu, Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan bahawa semua jemaah haji Malaysia selamat dalam kejadian ribut di Arafah, yang berlaku pada 6.30 petang hingga 8 malam (waktu Arab Saudi).