KUALA LUMPUR, 10 Mac – Dua lelaki berjiran dijatuhi hukuman denda
RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret selepas mereka mengaku
bersalah terbabit dalam pergaduhan.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhi hukuman itu ke atas pekerja hotel
Madnapis Karim, 33, dan penganggur, Hassan Md Isa, 52, selepas mereka yang
didakwa secara berasingan, mengaku bersalah.

Madnapis didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada jirannya
Hassan, dengan memukul kepala Hassan menggunakan sebatang besi di tingkat 3,
rumah kedai di Lorong Haji Taib 5, Dang Wangi di sini, kira-kira pukul 11.40
malam, 6 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Sekyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara
maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan
itu.

Hassan pula didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Madnapis
dengan cara menumbuk di bahagian lengan kanan dan kaki kiri, di tempat, masa dan
tarikh yang sama.

Dakwaan terhadap tertuduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Menurut fakta kes, polis yang menerima aduan mengenai pergaduhan itu telah
menahan kedua-dua tertuduh dan merampas sebilah parang panjang serta sebatang
besi.

Ketika rayuan, Madnapis sambil menangis memohon hukuman ringan atas alasan
dia perlu menyara empat orang anak dan seorang isteri, manakala Hassan tidak
mengemukakan sebarang rayuan. Kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya S. Ravindran memohon mahkamah mengenakan hukuman
setimpal dan memberi pengajaran agar kedua-dua tertuduh tidak mengulangi
kesalahan sama.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY