LENGGONG, 19 Nov – HILANG….. Dua lelaki hilang selepas sebuah bot yang disewa mereka untuk memancing dipercayai karam di Sungai Perak berhampiran Kampung Kelantan, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, berkata mangsa dikhuatiri lemas itu ialah Muhammad Faliq Fadzil, 26, dan rakannya, Amirul Asyraf Abdullah, 26, dari Taman Kuala Kangsar.

Ismail berkata, kedua-dua mangsa menyewa bot di Tropical Outdoor Pursuit Center di kawasan Tasik Raban di sini kira-kira jam 8 pagi semalam, sebelum terus mengemudi bot berkenaan ke Sungai Perak.

“Bagaimanapun, kira-kira jam 4 petang sekumpulan penduduk menjumpai bot yang disewa dua mangsa terbabit dalam keadaan separuh karam di sungai berhampiran Kampung Kelantan.

“Oleh itu, satu pasukan mencari dan menyelamat ditubuhkan bagi mengesan mangsa terdiri daripada enam anggota polis, lapan bomba, lima Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan penduduk kampung bagi mengesan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Ismail berkata, maklumat awal mempercayai mangsa terjatuh ke dalam Sungai Perak ketika memancing selepas beberapa jam menyewa bot berkenaan.

Sementara itu, sekumpulan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong yang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan awam pada 8.43 malam tadi.

Ketua BBP Lenggong, Mohd Annuar Mohd Saff, berkata pihaknya yang membuat siasatan mendapati kenderaan mangsa masih berada di tempat pengusaha bot di Tasik Raban setakat malam tadi.

“Setibanya di tempat kejadian, polis memaklumkan sebelum itu terdapat dua lelaki menyewa bot untuk aktiviti memancing dan penduduk melaporkan menemui bot berkenaan dalam keadaan separuh tenggelam di Sungai Perak berhampiran Kampung Kelantan kira-kira jam 4 petang semalam.

“Usaha pencarian di sekitar lokasi mangsa dikhuatiri hilang dilakukan tetapi sehingga kini masih belum menemui mangsa terbabit,” katanya.

Mohd Annuar berkata, anggotanya bersama penduduk kampung kini membuat tinjauan dan mengesan di Sungai Perak dekat Kampung Kelantan iaitu kawasan yang dilaporkan mangsa hilang.

“Keadaan arus Sungai Perak yang laju dan keruh menyukarkan sedikit usaha pencarian,” katanya. – WD MY