KUALA LUMPUR, 9 Julai – Dua lelaki warga tempatan yang disyaki
ada kaitan dengan kumpulan militan IS di Syria dan merancang melancarkan
serangan di beberapa sasaran penting di Lembah Klang ditahan dalam dua operasi
berasingan sekitar Kuala Lumpur pada 2 dan 7 Julai lepas.

Operasi oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman itu turut
merampas buku-buku mengenai jihad dan fahaman Salafi Jihadi serta resit-resit
pembelian barang-barang taktikal pertempuran.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata suspek pertama berusia
28 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur yang ditangkap pada 2 Julai dikesan
mempunyai hubungan dengan beberapa warga Eropah yang merupakan anggota kanan
kumpulan IS di Syria.

“Sejak pertengahan 2014, dua anggota kanan kumpulan pengganas IS warga
Eropah itu telah memberi arahan kepada suspek agar melancarkan serangan ke atas
kepentingan barat di Kuala Lumpur dan tempat-tempat hiburan sekitar Lembah
Klang.

“Suspek yang mula terdedah dengan ideologi kumpulan militan IS sejak 2012
juga mempunyai hubungan rapat dengan Ahmad Affendi Manaf, rakyat Malaysia yang
terbunuh selepas melancarkan serangan bunuh diri di Homs, Syria pada 9 Nov
2014,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY