JOHOR BAHRU, 21 Dis – Tahan…… Pihak Polis menahan dua lelaki tempatan dan
merampas lebih 3.5 kilogram dadah dalam satu operasi khas, malam tadi.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor ACP Lukas Aket,
penahanan kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 tahun itu dilakukan di tepi
Lebuhraya Pasir Gudang kira-kira pukul 8.50 malam.

“Susulan penahanan kedua-duanya, polis menyerbu sebuah rumah kediaman di
kawasan Masai dan merampas 3.5 kg serbuk disyaki ecstasy, 0.99 gram dadah
dipercayai syabu, 9.25 gram dadah disyaki ganja dan peralatan untuk memproses
dadah ecstasy,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lukas berkata anggaran harga pasaran bagi keseluruhan dadah itu adalah
RM350,000.
Polis juga percaya dadah tersebut untuk edaran tempatan dan kedua-dua suspek
dipercayai aktif antara lima dan enam bulan yang lalu dengan kegiatan dilakukan
secara berkala.
Lukas berkata hasil siasatan lanjut, seorang daripada suspek didapati
memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan penipuan dan dadah manakala
seorang lagi mempunyai dua rekod jenayah juga berhubung dadah.
Kedua-dua mereka kini ditahan reman hingga 26 Dis untuk siasatan lanjut
mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut Lukas, seramai 19,224 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah
di negeri ini sepanjang Januari hingga 19 Dis lepas.
Daripada jumlah itu, seramai 2,222 orang ditangkap kerana mengedar dadah;
3,874 orang memiliki; 13,035 orang merupakan penagih dan 93 orang lagi ditahan
menurut Undang-undang Pencegahan ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Beliau berkata jumlah keseluruhan dadah yang dirampas pula sebanyak 844.03
kg bernilai kira-kira RM27.44 juta.
“Sepanjang tempoh itu, kami turut menyita wang tunai dan pelbagai harta
pengedar dadah berjumlah RM11.63 juta,” katanya. – WD MY