IPOH, 2 MEI – MAUT….. Dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan Myanmar meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, hari ini disyaki mengalami keracunan metanol.

Pengarah Kesihatan Perak Dr Ding Lay Ming berkata kedua-dua mangsa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, HRPB pada 28 April lalu setelah mengalami gejala kabur penglihatan, loya, muntah, sakit perut dan kurang sedar selepas minum minuman beralkohol.

“Kedua-dua lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal semasa dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia pada awal pagi ini,” katanya dalam kenyataan.

Dr Ding berkata sampel klinikal daripada kedua-dua kes telah dihantar ke makmal untuk pengesanan metanol dan keputusannya belum diterima.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian dan survelan minuman beralkohol di pasaran juga akan dipertingkatkan.

Beliau berkata keracunan metanol boleh menyebabkan gejala sakit perut, sesak nafas, kabur penglihatan, loya, muntah, pening atau sakit kepala yang teruk serta kekejangan kaki.

“Orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan pengambilan minuman beralkohol tiruan.

“Sekiranya terdapat individu yang mengalami mana-mana gejala tersebut selepas pengambilan minuman beralkohol, sila bawa untuk mendapatkan rawatan di hospital yang terdekat dengan kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri berkata polis yang bertugas di Pondok Polis 10, HRPB menerima maklumat mengenai kematian seorang pekerja buruh binaan warga Myanmar dikenali sebagai Than Hta Young, 40, kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai disebabkan keracunan berpunca dari minum minuman keras.

“Mangsa dipercayai membeli minuman keras itu di Pusing dekat Batu Gajah. Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada unsur-unsur jenayah,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata sebelum lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Roy berumur 32 tahun meninggal dunia, dia dipercayai mahu meminjam duit rakannya untuk membayar kos rawatan di Klinik Balbir Menglembu di Perak pada 28 April lalu.

“Rakan si mati kemudian datang ke klinik tersebut untuk membayar kos rawatan si mati dan pada masa yang sama doktor di klinik tersebut menyarankan si mati dibawa ke HRPB untuk rawatan lanjut.

“Dia bersama si mati telah pergi ke HRPB menggunakan teksi dan dalam perjalanan si mati menceritakan dia berasa loya dan muntah-muntah serta pening kepala,” katanya.

Katanya, tiba di HRPB mangsa ditahan di wad selama dua hari untuk menjalani rawatan susulan dan disahkan meninggal dunia hari ini. – WD MY