KUALA LUMPUR, 13 Nov – PENGGANAS….. Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan cuba memasuki Syria bagi melaksanakan perbuatan pengganas, Februari lalu.

Juruteknik kilang, Mohamad Awang, 41, yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan Anwar, 28, petani warga Indonesia, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohamad dan Anwar secara berasingan didakwa cuba pergi ke Syria melalui Tehran, Iran, dengan niat melakukan perbuatan pengganas di negara itu, di hadapan sebuah hotel di Jalan Jambu Mawar, Jalan Kepong Utama, jam 12 tengah hari, pada 21 Februari lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 511 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Anwar turut dituduh memiliki 17 keping gambar dan empat video berunsur keganasan dan mempunyai kaitan dengan pengganas Daesh, di dalam telefon bimbitnya berjenama Xiaomi model Redmi Note 3 pada tempat, masa dan tarikh sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fadzlan Mohd Noor mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak terhadap item berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – WD MY