SLIM RIVER, 26 MAC – LORI… Dua lelaki maut dalam nahas membabitkan dua lori tangki dengan sebuah treler di Kilometer 379.8 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7 malam, kedua-dua mangsa yang juga pemandu lori tangki membawa muatan getah terbabit, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler pula cedera.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.18 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dikejarkan ke lokasi.

Setiba di lokasi, katanya, anggota bomba mendapati kedua-dua mangsa sudah dikeluarkan daripada kenderaan, namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-duanya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera diberikan rawatan sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans.

“Operasi ditamatkan pada jam 8.24 malam selepas memastikan tiada lagi mangsa lain terbabit,” katanya. – WD MY