PUTRAJAYA, 24 Jan – Percepat…….. Dengan 26 pegawai Jabatan Imigresen dijangka dapat bantu mempercepatkan proses pengeluaran visa untuk pelajar asing dalam tempoh masa yang ditetapkan kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata persetujuan penambahan pegawai berkenaan dicapai selepas mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN), baru-baru ini.

Buat masa sekarang pegawai terbabit perlu menyelesaikan permohonan visa yang tertunggak terlebih dulu, yang dijangka dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu.

“Pada mulanya, kita meminta penambahan seramai 10 pegawai tetap, tetapi Jabatan Imigresen menghantar lebih daripada itu.

“Diharapkan selepas selesai semua tunggakan visa berkenaan, kita dapat memproses sekurang-kurangnya 400 visa sehari,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan akan memudahkan dan mempercepatkan pengeluaran visa pelajar asing daripada sebulan kepada 14 hari.

Sehingga kini kira-kira 4,000 permohonan visa pelajar belum diproses, yang secara tidak langsung menyukarkan pembelajaran mereka. – WD MY