WASHINGTON DC, 7 Okt – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
yang melakukan lawatan kerja di sini bermula Rabu, tidak sekadar misi mendapatkan
pengecualian visa bagi rakyat Malaysia melawat Amerika Syarikat tetapi juga
penting untuk memperbaiki status negara dalam isu menangani pemerdagangan orang
serta kerjasama memerangi keganasan.

Ahmad Zahid bakal menandatangani Arahan Presiden Keselamatan Negara No 6
(HSPD-6), proses terakhir ialah satu lagi perjanjian yang akan ditandatangani
semasa lawatan Presiden Barack Obama ke Kuala Lumpur pada bulan depan.

“Sesudah itu, proses pengecualian visa Amerika (bagi lawatan 90 hari)
dijangka dapat diselesaikan awal tahun depan,” kata Duta Malaysia di Amerika
Syarikat Datuk Dr Awang Adek Husin.

Tambah Awang Adek, ia merupakan lawatan ketiga Ahmad Zahid, yang dilantik
menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai lepas, dalam tempoh setahun ke
pusat pentadbiran Amerika, untuk mengukuhkan kerjasama peringkat pegawai antara
Kuala Lumpur dan Washington.

Pada lawatan kali ini, Ahmad Zahid dijadual menyertai jamuan malam bersama
beberapa pegawai kanan kerajaan Amerika terutama golongan pemikir yang
mengendalikan hal ehwal Malaysia seperti penolong setiausaha negara dan penolong
setiausaha pertahanan Amerika.

Pertemuan seperti itu penting bagi melicinkan urusan dua hala dan
menyelesaikan isu berbangkit melibatkan kedua-dua negara, kata Awang Adek.

Satu lagi perkara penting bagi Ahmad Zahid, ialah memperbaiki status Tahap 3
kepada Tahap 2 Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan orang.

Ini berikutan laporan tahunan Jabatan Negara Amerika mengenai pemerdagangan
orang bagi tahun 2014 yang dikeluarkan pada 20 Jun lalu meletakkan Malaysia di
Tahap 3 berbanding Senarai Pemerhatian Tahap 2 sebelum ini.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY