SEPANG, 26 Jan – TUDUHAN……. Dua pegawai Jabatan Imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas tuduhan menyeludup migran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 20 November dan 6 Disember tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh iaitu Abd Faiz Hannan Ibrahim, 24, dan Adly Affandy Abdul Rahim, 34, didapati melakukan kesalahan itu di Kaunter Kawalan Masuk Udara, Aras 3, Balai Ketibaan, KLIA.

Tertuduh pertama, Abd Faiz berasal dari Penampang, Sabah dituduh menyeludup migran warga Bangladesh, Abdul Momen di lokasi itu kira-kira jam 10.30 pagi pada 20 November lalu.

Tertuduh kedua, Adly Affandy berasal dari Semenyih pula dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara jam 8.30 hingga 9.30 pagi pada 6 Disember tahun lalu dengan menyeludup dua warga Bangladesh iaitu Md Mosarof dan Ashabul Haque.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said, kedua-dua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Saifulakmal kemudian menetapkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor selepas membenarkan permintaan Timbalan Pendakwa Raya Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail, namun tiada tarikh ditetap.

Abd Faiz tidak diwakili peguam, manakala Adly Affandy diwakili peguam Zafran Zafri Mohd Zaini.

Sementara itu, Zafran Zafri berkata, anak guamnya tidak boleh diikat jamin kerana terikat dengan aturan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas 2012) (SOSMA).

Terdahulu, kedua-dua tertuduh tiba di Mahkamah Sepang kira-kira jam 10 pagi dalam keadaan tangan bergari dan diiringi anggota polis.

Tiga pegawai Jabatan Imigresen ditahan polis mengikut SOSMA kerana bersekongkol dengan sindiket penyeludupan migran. – WD MY