IPOH, 17 April – Maut….. Pekerja penyelenggaraan maut selepas terjatuh ke lubang saluran air di hadapan sebuah kompleks beli-belah di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu jam 1.30 pagi, kedua-dua pekerja yang berusia 27 tahun yang tidak memakai alat bantuan pernafasan, terjatuh ketika sedang menuruni anak tangga di dalam lubang berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.34 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, didapati kedua-dua mangsa berada di bahagian dasar saluran itu dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba berpakaian lengkap alat bantuan pernafasan memasuki lubang berkenaan kemudian mengikat tubuh mangsa.

Katanya, bomba menaikkan kedua-dua mangsa menggunakan tali yang diikat pada badan mereka.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan yang mengesahkan mereka sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 3.09 pagi. – WD MY