DUNGUN, 19 Julai – Dua pemancing dilaporkan hilang selepas bot gentian kaca
yang dinaiki mereka karam dalam kejadian di perairan Dungun di sini petang tadi.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mohd Sabrie Kamaruddin, 22, berasal dari
Dungun dan rakannya Mohammad Syahril Asmadi Yusoff, 22, berasal dari Kuala
Lumpur.

Dalam kejadian pada kira-kira 3.30 petang itu, bot yang dinaiki kedua-dua
mangsa dipercayai sedang memasuki muara Kuala Dungun sebelum ia karam dipukul
ombak.

Rentetan itu, kedua-dua mangsa dikatakan sempat berpaut pada tong plastik
namun dihanyutkan arus.

Menurut Pegawai Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Negeri Abdullah Zawawi
Mohamed, operasi mencari dan menyelamat mangsa terus dilancarkan sebaik menerima
laporan daripada pihak polis.

Katanya, operasi mencari mangsa di sekitar perairan Dungun turut melibatkan
nelayan tempatan.

“Pihak kami juga telah memaklumkan kehilangan mangsa kepada Agensi
Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Polis Marin bagi meningkatkan usaha
menjejaki mangsa,” katanya.

Beliau berkata kira-kira 5.30 petang tadi seorang daripada mangsa sempat
menelefon kakaknya dan memaklumkan mereka hanyut sehingga ke perairan Marang.

Abdullah berkata, pihaknya juga telah mengerahkan anggota dari Balai Marang
untuk mencari mangsa di sekitar perairan tersebut.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY