Dua Penduduk Palestin Maut Dalam Pertempuran Dengan Israel

0
63

BAITULMAQDIS, 23 Julai – Maut…….. Dua penduduk Palestin maut dalam pertempuran ketika tentera rejim Zionis mengadakan serbuan ke atas rumah penyerang yang dikaitkan dengan keganasan berhubung langkah keselamatan di kawasan suci.

Ia menjadikan angka korban meningkat kepada tujuh dalam masa dua hari.

Sementara itu, Israel menghantar anggota tentera tambahan ke Tebing Barat semalam dan polis menyuraikan penduduk Palestin yang membaling batu di Baitulmaqdis ketika kebimbangan antarabangsa memuncak berhubung penularan keganasan kedua-dua pihak sejak dulu.

Tiga peneroka Yahudi maut ditikam kelmarin di Tebing Barat. Beberapa jam sebelum itu, tiga penduduk Palestin dibunuh dalam keganasan yang dicetuskan pemasangan pengesan logam di pintu masuk ke Haram al-Sharif.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengarahkan semua hubungan rasmi dengan rejim digantung sehingga ia menanggalkan pengesan logam itu.

Sementara itu, Russia, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam kenyataan bersama menyatakan kebimbangan dengan peningkatan ketegangan dan pertempuran ganas di sekitar Kota Lama di Baitulmaqdis dan menggesa kedua-dua pihak bertenang.

Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan pertemuan esok bagi membincangkan keadaan itu.

Kabinet Israel dijangka bersidang hari ini dan membincangkan langkah keselamatan alternatif yang boleh digunakan untuk menggantikan pengesan logam itu, menurut dua pegawai rejim. – WD MY