KOTA BHARU, 20 Okt – Dituduh Daesh……Dua peniaga dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan terbabit dengan kumpulan pengganas Daesh pada Mac dan Jun lalu.

Tertuduh, Hizmi Razli Abdul Rahim, 32, dan Tengku Shukri Che Tengku Hashim, 30, masing-masing menghadapi dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhammad.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan melafazkan sumpah taat setia kepada kumpulan pengganas, menerusi aplikasi Telegram kumpulan “gagak hitam”, masing-masing di Kampung Pulau Kapas dan Taman Tanjong Mas, antara jam 12.37 tengah malam hingga 5.08 petang pada 30 Mac 2016.

Mengikut pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas membabitkan penggunaan bahan letupan dengan niat untuk melanjutkan ideologi, dianggap mengugut orang awam di Malaysia melalui aplikasi Telegram kumpulan “amanah vs pas” pada 28 Jun 2016, antara jam 3.18 pagi hingga 3.32 pagi di lokasi yang sama.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130(1) kanun yang sama.

 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong Siew Mun dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hazrin Alif Wahab. – WD MY