KULAIJAYA, 27 April – Dua penjenayah dipercayai terlibat dengan
17 kes samun dan pecah rumah mati ditembak manakala dua rakannya berjaya
melarikan diri dalam kejadian kira-kira 500 meter dari taman rekreasi Hutan
Bandar Putra, di sini, hari ini.

Menurut Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad, kejadian berlaku pada 3.40 pagi
selepas anggota polis terserempak dengan kesemua lelaki dipercayai warga asing
itu yang menaiki sebuah kereta Proton Perdana.

“Polis cuba mendekati kereta suspek untuk membuat pemeriksaan, namun, suspek
bertindak melepaskan tembakan ke arah polis,” katanya di sini hari ini.

Rusli berkata tindakan suspek itu menyebabkan anggota polis melepaskan
tembakan bagi mempertahankan diri dan tembakan tersebut terkena dua suspek
menyebabkan mereka mati di tempat kejadian.

Beliau berkata dua lagi rakan suspek melarikan diri ke hutan berhampiran dan
pemeriksaan menemui satu senapang patah, parang, komputer riba, telefon, kamera
serta resit hasil penjualan barang kemas bernilai RM2,000.

Polis sedang menyiasat lebih lanjut mengenai suspek yang
berumur lingkungan 30 hingga 40 tahun, namun, percaya kesemua mereka terlibat
dengan 17 kes pecah rumah dan samun di sekitar Kulaijaya dan Pontian.

Kereta yang digunakan suspek pula didapati merupakan kenderaan curi yang
dilaporkan hilang pada Disember lepas, katanya.

Katanya cermin hadapan kenderaan polis pecah ditembak suspek, bagaimanapun,
tiada anggota polis mengalami kecederaan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY