GEORGETOWN, 30 Jun – Dua Pertuduhan……. Lim Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi, terhadap dua pertuduhan rasuah membabitkan penyalahgunaan kuasa berhubung isu permohonan pengezonan semula status tanah dan pembelian banglo di Jalan Pinhorn.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan Setiausaha Agung DAP itu, selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Mengikut pertuduhan pertama, Guan Eng dituduh sebagai penjawat awam menggunakan kuasa sebagai Ketua Menteri berhubung perbincangan pengezonan semula tanah di Lot 436 dan 437 Derah Barat daya kepada Magnificient Emblem Sdn Bhd pada 18 Julai 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa menyalahguna kuasa sebagai Ketua Menteri untuk mendapatkan barang berharga sebagai balasan iaitu lot rumah banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn di sini, di bawah harga pasaran sedangkan nilai semasa RM4.2 juta, pada 28 Julai 2015.

Bagaimanapun, mahkamah memutuskan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas perkara itu dimohon pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Guan Eng diwakili barisan peguam Gobind Singh Deo, Ram Karpal Singh dan RSN Rayer.

Sementara itu di mahkamah sama, seorang ahli perniagaan yang juga pemilik asal banglo Jalan Pinhorn, Phang Li Koon didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat. – WD MY

LEAVE A REPLY