Dua Strategi Utama Dirangka Petronas Kembang LNG Di India

0
222

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Gariskan…… Pihak PETRONAS menggariskan dua strategi utama meluaskan kehadirannya di India menerusi pengembangan bekalan gas asli cecair (LNG) dan pengukuhan perniagaan minyak pelincir membabitkan suntikan pelaburan AS$150 juta (RM643.78 juta) untuk lima tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata selepas lebih dua dekad kerjasama strategik dengan India, PETRONAS kini meningkatkan strategi perniagaannya serta mengukuh dan mengembangkan operasi di kuasa ekonomi paling pantas berkembang di dunia itu.

Justeru, katanya, keutamaan PETRONAS kini adalah untuk mengembangkan pembekalan LNG di India dalam usaha memenuhi peningkatan permintaan bahan api itu daripada loji jana kuasa, pertanian dan sektor pengangkutan.

Beliau berkata, setakat ini, PETRONAS membekalkan 15 kargo LNG ke India termasuk baru-baru ini membabitkan penghantaran kargo pertama ke negara itu menerusi kemudahan pengeluaran LNG terapung milik gergasi minyak dan gas (O&G) itu.

“Kami memanfaatkan reputasi dalam perniagaan LNG global untuk meningkatkan kelebihan menawarkan penyelesaian khusus mengikut permintaan meliputi semua rantaian bekalan termasuk fleksibiliti, kepakaran kejuruteraan dan pengurusan operasi.

“Dengan kapasiti lebih 30 tan setahun (mtpa), PETRONAS kini adalah peserta LNG ketiga terbesar dunia dan kami berharap dapat terus menyumbang kepada keperluan tenaga di India, yang juga pasaran LNG keempat terbesar dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Wan Zulkiflee ketika ini dalam lawatan tahunan rasmi PETRONAS untuk bertemu peneraju industri India dan rakan niaganya.

Sempena lawatan itu, PETRONAS turut meraikan perjanjian tiga tahun antara PETRONAS Chemicals Group Bhd (PCG) dengan Reliance Industries Ltd yang dimeterai Selasa lalu, bagi membekalkan sehingga 120,000 tan paraxylene.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PETRONAS turut memanfaatkan lonjakan permintaan produk petrol-kimia di India dengan menetapkan sasaran pengembangan tiga kali ganda penguasaan dalam pasaran minyak pelincir negara itu menjelang 2022.

Justeru, katanya, PETRONAS mengukuhkan perniagaan minyak pelincir di India menerusi suntikan pelaburan bernilai AS$150 juta (RM643.73 juta) oleh anak syarikatnya, PETRONAS Lubricants International (PLI) untuk tempoh lima tahun.

“Pelaburan itu termasuk pembinaan loji pengadun minyak pelincir bernilai AS$50 juta (RM214.62 juta) yang akan memiliki kapasiti 110 juta liter di Patalganga dan akan siap pada suku pertama 2018.

“Kemudahan paling moden dalam rangkaian pengeluaran global PLI itu memiliki keupayaan unik mengadun bendalir paling kompleks selain kelengkapan kemudahan penyelenggaraan teknikal yang mengguna pakai perkakasan analitikal bendalir termaju,” katanya.

PLI memiliki rangkaian rakan niaga Pengeluar Peralatan Asal (OEM) daripada jenama automotif utama termasuk Tata Motors, Fiat, New Holland, Doosan, Case Construction, Maruti Suzuki India, Piaggio dan Bharat Benz bagi minyak pelincir berjenama dan jenama bersama. – WD MY