KUALA LUMPUR, 8 Mei – Dua pemandu Perodua Myvi yang terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) sehingga meragut nyawa tiga beranak, termasuk bayi berusia enam bulan Sabtu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Trafik di sini hari ini.

Siti Noor Aini Mohd Said, 36, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan.

Mereka didakwa memandu Perodua Myvi secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian suami isteri, Fairuz Nizam Husain, 35, dan Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka Nur Firuza Annisa, di km 6.2 Lebuhraya DUKE dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta, pada pukul 1.05 pagi, 2 April lepas.

Siti Noor Aini yang memandu Myvi kuning manakala Mohammad Fizal Reza yang memandu kereta berwarna putih, didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika sabit kesalahan mereka berdepan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000.

Ketika ditanya jurubahasa sama ada mereka faham pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh berkata “kami faham dan mengaku tidak bersalah”. – Rizalman Has (WD MY)

Berita Selanjut Menyusul

LEAVE A REPLY