KUALA LUMPUR, 15 APRIL – LANGGAR Dua lelaki dipercayai warga Myanmar maut selepas dilanggar tren komuter ketika cuba melintas laluan komuter di Kilometer 371.7 Sungai Buloh-Kepong semalam.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan, malam tadi memaklumkan kedua-dua mangsa dalam lingkungan 30-an itu dipercayai menceroboh landasan di situ sebagai jalan pintas untuk ke kawasan berhampiran.

“Ketika kejadian kira-kira jam 6.03 petang itu, komuter terbabit dalam perjalanan ke Stesen Kepong dari Stesen Sungai Buloh dengan membawa 30 orang penumpang.

“Pemandu komuter terus memberhentikan tren berkenaan sebaik menyedari kelibat mangsa terpelanting di kedua-dua belah bahu landasan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, pihak KTMB melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis sejurus selepas kejadian sebelum sepasukan anggota polis hadir ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang bagi tujuan bedah siasat.

“Dalam pada itu, pihak KTMB turut menyediakan Komuter gantian bagi membolehkan semua penumpang menyambung semula perjalanan mereka,” katanya. – WD MY