LONDON, 14 Jun – LAWATAN… Ahli keluarga Diraja terbaru Britain, Duchess of Sussex menyertai Ratu Elizabeth untuk lawatan rasmi pertama tanpa suaminya, Putera Harry.

Meghan yang mengahwini cucu baginda dalam satu majlis gilang – gemilang di Istana Windsor bulan lalu, melakukan lawatan berkenaan dengan menaiki Kereta Api Diraja ke barat laut England untuk lawatan sehari.

Ketika majlis perkahwinan mereka menjadi tontonan jutaan penduduk dunia, lawatan hari ini adalah antara tugas rasmi yang perlu dilakukan bekas aktres berkenaan selaku anggota keluarga Diraja.

Ratu Elizabeth, 92 dan Meghan, 36 akan merasmikan Jambatan Mersey, iaitu jambatan baru merentangi Sungai Mersey yang juga projek infrastruktur terbaru dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Rombongan Diraja juga akan melawat Chester untuk majlis pembukaan kompleks baru yang menempatkan perpustakaan, teater dan pawagam dikenali sebagai Storyhouse.

Mereka bakal dihiburkan oleh persembahan tarian dan nyanyian oleh pelajar sekolah tempatan sebelum jamuan makan tengahari di dewan bandaran.

Awal minggu lalu, pejabat Putera Harry mengumumkan bahawa pasangan suami isteri itu akan melawat Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand, tahun ini. – WD MY