KUALA LUMPUR, OKTOBER 22: PEMBANGKANG…Pimpinan tertinggi  PH dinasihatkan agar keluar daripada mentaliti pembangkang dan  menyesuaikan diri dengan status terkini selaku kerajaan Persekutuan.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, pengalaman sebagai pembangkang wajar dijadikan panduan untuk memahami aspirasi rakyat kini.

Katanya, pimpinan PH hari ini sepatutnya belajar dan mahu memahami penting dengan prinsip bersedia menerima kedudukan semasa, faham dan hormat persekitaran politik yang kini bukan lagi pembangkang.

“Umum maklum hampir 80 peratus pemimpin PH baharu dalam kepimpinan di peringkat Persekutuan. Mentaliti dulu pembangkang perlu disesuaikan dengan kedudukan hari ini sebagai kepimpinan Persekutuan.

“Mereka perlu melihat kepada pengalaman lepas dan memahami aspirasi rakyat kini dan juga belajar serta mahu memahami  pentingnya prinsip bersedia menerima kedudukan semasa, faham dan hormat persekitaran politik yang kini bukan pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Selain itu, Sivamurugan turut menambah, barisan pemimpin kerajaan hari ini seharusnya menerapkan pendekatan merakyatkan kepimpinan sebagai teras kepimpinan.

Hal ini kerana katanya, setiap langkah dan dasar serta ungkapan dan pandangan diperhati dan diteliti.

“Pemimpin juga wajar beristiqamah dan bermusyawarah serta berbincang untuk menyerap kepentingan sistem penyampaian mereka.

“Bukan itu sahaja, pegawai berwibawa juga perlu untuk menasihati dan menerangkan risiko dan maklum balas yang akan diterima daripada umum,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan supaya pemimpin-pemimpin kerajaan ini bersedia untuk mengakui kesilapan dan tidak gelojoh dalam membuat keputusan.

“Bahkan dalam mendokong aspirasi PH, sentiasa bersedia ditegur dan bertindak sebagai satu pasukan PH.

“Disekolahkan bertujuan memahami ‘mindset’, keperluan dan kemahuan umum untuk membina keyakinan dan kepercayaan, juga membuat keputusan popular dan tidak popular tetapi tidak jejaskan legitimasi politik dan moral serta kekalkan integriti politik,” tambahnya.

Kelmarin, Wartawan veteran, Datuk A. Kadir Jasin berkata, pemimpin  PH yang memegang jawatan perlu ‘disekolahkan’ sebelum rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan sekarang.

Beliau yakin menteri akan mendapat kebaikan jika ‘disekolahkan’ bagi mengubah acuan minda mereka daripada pembangkang kepada kerajaan.-MY WD