PETALING JAYA, OGOS 15: KRITIK…Setiausaha Politik Perdana Menteri mengingatkan pemimpin parti dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya tidak mengkritik pemimpin Pakatan Harapan yang kini menjalankan tanggungjawab sebagai Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, Abu Bakar Yahya berharap semua pihak memberi peluang kepada Pakatan Harapan mengemudi kerajaan.

“Kalau kita sayang negara ini kita tidak mahu ada rakan-rakan dalam pimpinan dan rakan-rakan dalam NGO mahupun dalam parti mengkritik dan menghentam pemimpin-pemimpin yang ada.

“Saya harap kita memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk menyusun struktur yang ada dalam kerajaan,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Pertubuhan Cintai Malaysia.

Begitu juga kepada Pertubuhan Cintai Malaysia, Abu Bakar berkata, pimpinan NGO baharu tersebut juga diingatkan berperanan berlandaskan undang-undang.

“Oleh yang demikian NGO yang baharu ditubuhkan ini (Pertubuhan Cintai Malaysia) seluruh pimpinan dan ahli jawatankuasa semestinya bertindak mengikut undang-undang, selain daripada itu membuat apa yang perlu kita buat demi untuk menjaga negara yang dicintai,” tambahnya.

Terdahulu NGO yang dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu diketuai oleh Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Sungai Buloh, Datuk Dr Zukkafperi Hanapi.-MY WD