KUCHING, 28 Julai – Kagum Program Deradikalisasi Malaysia….. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pengalaman Malaysia memerangi kegiatan pengganas dikongsi banyak negara maju yang terdedah kepada ancaman itu.

Ia berikutan program deradikalisasi yang dilaksanakan Malaysia bagi memulihkan anggota militan di negara ini, mencapai tahap kejayaan 97.5 peratus.

“Malaysia mempunyai sejarah panjang dalam memerangi kegiatan pengganas, bermula dari era darurat dalam menghadapi ancaman komunis pada tahun 1948 sehingga berlaku peletakan senjata.

“Kita pulihkan mereka daripada menjadi liabiliti negara kepada aset yang boleh menyumbang buat masyarakat. “Acuan sama kita gunakan bagi membentuk prosedur operasi standard (SOP), khusus bagi menyokong pelaksanaan program deradikalisasi ini untuk memulihkan pemikiran dan fahaman anggota militan yang ditahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) Sarawak di sini, hari ini, sempena lawatan kerja seharinya ke negeri itu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata program deradikalisasi turut membabitkan penyertaan kumpulan pakar dalam pelbagai bidang berkaitan, termasuk ulama.

“Kita turut menerbitkan buku SOP program deradikalisasi ini yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris, Arab dan Perancis. “Ini memperlihatkan penerimaan negara luar terhadap inisiatif dilaksanakan dalam memerangi keganasan,” katanya.

Menerusi program itu, katanya, anggota militan yang ditahan akan menjalani proses pengasingan bagi mengelak risiko penyebaran fahaman dalam kalangan banduan lain.

“Keseluruhannya, 261 rakyat kita ditahan setakat ini kerana didapati terbabit dalam kegiatan IS, tidak termasuk 63 yang dikesan berada di Iraq dan Syria.
“Kerajaan memandang serius penyertaan rakyat Malaysia dalam kegiatan itu kerana ia bukan saja menjejaskan imej negara, bahkan turut mencemari imej agama yang menitikberatkan keharmonian dan keamanan, selain mengelak pembunuhan sesama Islam serta penganut agama lain,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY