Duta Korea Utara Dipanggil Wisma Putra

0
165

PUTRAJAYA, 20 Feb – Panggil….. Kementerian Luar ┬áhari ini memanggil Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol, untuk mendapatkan penjelasan beliau berkenaan tuduhannya terhadap Kerajaan Malaysia dalam sidang akhbar Jumaat lalu.

Kang Chol menemui Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin, bagi memberi penjelasan beliau.

Dalam sidang akhbar Jumaat lalu, Kang Chol memberi gambaran bahawa Kerajaan Malaysia mempunyai “sesuatu untuk disembunyikan” dan mendakwa Malaysia “berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar” dalam pengendalian kes kematian seorang warga Korea Utara pada 13 Februari 2017.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan hari ini, menekankan bahawa memandangkan kematian itu berlaku di Malaysia dalam keadaan yang mencurigakan, maka adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan Malaysia untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

Penyiasatan kes itu dilaksanakan mengikut tatacara yang telah ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia, malah Kedutaan Besar Korea Utara turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Oleh itu, proses bedah siasat perlu dijalankan dan pihak kedutaan sudah dimaklumkan bahawa sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada pihak waris mengikut undang-undang dan prosedur yang sedia ada di Malaysia.

Kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus dan pihak kedutaan akan dimaklumkan mengenai perkembangan yang berkaitan dengan penyiasatan itu selain proses yang terbabit di bawah undang-undang Malaysia.

Kerajaan Malaysia menganggap kritikan yang dibuat oleh Duta Besar Korea Utara sebagai tidak berasas dan memandang serius segala tuduhan yang dilemparkan bertujuan untuk mencemarkan reputasi Negara.

Mengikut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Komunikasi dan Diplomasi Awam Kementerian Luar, Duta Besar Malaysia di Pyongyang juga sudah dipanggil kembali ke Kuala Lumpur untuk proses perundingan. -WD MY