MELAKA, 26 MAC – EDAR…. Pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur kegiatan mengedar minuman keras secara percuma di kawasan Jonker Walk.

Datuk Bandar MBMB Mansor Sudin berkata kegiatan yang berlangsung pada hujung minggu lalu dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Hasil aduan yang diterima, lima orang pegawai MBMB hari ini telah menjalankan siasatan ke lokasi terbabit.

“Siasatan majlis telah dilakukan pada jam 10.30 pagi di lokasi. Berdasarkan makluman kegiatan tersebut berlaku di hadapan Tamil Methodist Church, Jalan Kubu, Melaka dan seterusnya kegiatan tersebut berterusan ke bangunan Gan Boon Leong, Jalan Kubu, Melaka.

“Siasatan mendapati kegiatan minum arak secara percuma itu diadakan sempena program promosi “Taster Carlsberg” di hadapan Tamil Methodist Church, Jalan Kubu.

“Promosi berkenaan tidak mendapat sebarang kebenaran dari MBMB serta Pejabat Daerah Melaka Tengah. Sehubungan itu, MBMB akan mengambil tindakan undang-undang kepada penganjur kerana telah mengadakan kegiatan promosi arak di Pasar Malam Jonker Walk tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan,” katanya dalam suatu kenyataan malam tadi.

Menurut Mansor tindakan akan dikenakan berdasarkan Undang-undang Kecil Pasar Malam/ Sehari.

“Tindakan yang sama juga boleh dikenakan kepada pemegang lesen kedai atau individu yang mengendalikan aktiviti tersebut.

“Pihak penganjur Pasar Malam Jonker Walk didapati telah melanggar syarat lesen yang ditetapkan oleh MBMB.

“Tindakan undang-undang akan diambil di bawah Undang-undang Kecil 5(2), Pasar Malam/ Sehari, MBMB 2010,” katanya.

Terdahulu hari ini, Sinar Harian memetik Adun Kota Laksamana Low Chee Leong berkata kegiatan pengedaran arak percuma di bandar Melaka tidak patut berlaku, lebih-lebih lagi dibuat di pekarangan sebuah gereja.

Low berkata kegiatan itu seolah-olah tiada nilai sensitiviti agama serta boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama memandangkan insiden terbabit berlaku ketika cuti persekolahan dan menjadi tumpuan lokasi pelancongan termasuk kehadiran pengunjung Melayu.

“Saya kritik perbuatan pihak penganjur pasar malam Jonker Walk yang dilihat hanya mementingkan kutipan bayaran tanpa mengambil kira nilai sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini, khusus di Melaka.

“Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) harus mengambil tindakan tegas terhadap pihak penganjur dengan menarik balik lesen penganjuran,” katanya. – WD MY