KUALA LUMPUR, OKTOBER 25: EKONOMI…​​Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka perlahan pada Disember 2018 hingga Februari 2019, kata Jabatan Perangkaan.

Dalam laporan ‘Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor,Serentak & Susulan Bagi Ogos 2018’ yang dikeluarkan oleh jabatan itu hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) menurun 0.9 peratus pada Ogos 2018.

IP itu disusun untuk memberikan isyarat ke mana arah tuju ekonomi dalam purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

Bagaimanapun, beliau berkata perubahan bulanan IP meningkat 0.3 peratus kepada 118.9 mata berikutan kenaikan 0.1 peratus pada Julai 2018.

“Tiga komponen IP yang menyumbang kepada peningkatan adalah bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (+0.5 peratus), penawaran wang benar, M1 (+0.2 peratus) dan import benar semi konduktor (+0.2 peratus),” kata Mohd Uzir.

Sementara itu jabatan tersebut memaklumkan Indeks Serentak (IS) iaitu ukuran prestasi keseluruhan ekonomi semasa menurun 0.3 peratus pada Ogos 2018 dengan Kapasiti Penggunaan di sektor pembuatan (-0.3 peratus) adalah komponen utama yang menyumbang kepada penurunan itu.

“Perubahan tahunan IS tumbuh 3.6 peratus pada bulan rujukan,” katanya.-MY WD