JITRA, FEB 20 – EKSPORT…Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Datuk Dr Jalaluddin Harun berkata nilai eksport produk perkayuan Malaysia dijangka meningkat lima peratus tahun ini berbanding RM23.22 bilion yang direkodkan pada 2017.

Beliau memberitahu, jangkaan itu berdasarkan permintaan tinggi dari negara maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, India dan Australia serta negara Kesatuan Eropah yang didorong kualiti kayu tempatan di samping penghasilan produk akhir yang menepati spesifikasi.

“Ketika ini kita mengeksport produk kita kepada lebih 160 negara. Selepas ini kita mahu menumpukan pula kepada negara yang mempunyai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia seperti New Zealand, Turki dan Pakistan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, dalam usaha mencapai sasaran nilai eksport RM28 bilion menjelang 2020, negara turut berdepan masalah kekurangan bahan mentah dan pekerja mahir sehingga menyukarkan industri ini memenuhi permintaan eksport.

“80 peratus perabot kita adalah daripada kayu getah selain kayu tropika yang lain, permintaan negara maju ini tinggi, sebab itu kadang-kadang kita terpaksa menyekat eksport (perabot daripada kayu getah) kerana bekalan bahan kayu getah adalah sangat kurang,” katanya. – MY WD