KUALA LUMPUR, FEB 15 – Eksport Malaysia dijangka meningkat 9.3 peratus tahun ini, sebahagian besarnya didorong oleh permintaan daripada ekonomi maju dan pesat membangun, kata Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF).

Unjuran itu dibuat selepas Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada suku keempat 2017 yang lebih tinggi berbanding unjuran pasaran.

Semalam, Bank Negara Malaysia mengumumkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9 peratus bagi suku keempat 2017 dan setahun penuh, dan mengekalkan prospek yang menggalakkan untuk 2018.

Faktor utama pertumbuhan ekonomi adalah hasil dari penggunaan dan pelaburan swasta yang meningkat kukuh.

Selain dari itu, pasaran buruh yang kian stabil dan peningkatan dalam pertumbuhan upah turut memberi rangsangan kepada penggunaan swasta, kata MIDF.

Malah prestasi mantap dalam perkhidmatan juga mencerminkan ekonomi domestik kini berada pada momentum tinggi.

“MIDF mengunjurkan KDNK akan mencatat purata 5.5 peratus pada 2018, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, pertumbuhan gaji yang berterusan dan inflasi dalam ekonomi domestik yang menyederhana. – MY WD