KUALA NERUS, 28 Mei – Pembaziran….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar rakyat di negara ini termasuk umat Islam tidak melakukan pembaziran makanan dalam bulan Ramadan ini.

Ia berikutan statistik dari pihak pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWCORP mengatakan jumlah pembaziran makanan oleh rakyat negara ini berjumlah 17,800 tan sehari pada tahun lalu.

“Angka ini menggerunkan apabila tibanya Ramadan setiap tahun membuang 270,000 tan makanan yang tidak diusik dan boleh dimakan semula.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya di majlis berbuka puasa di Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Timbalan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) peringkat Terengganu di Masjid Tok Jembal, di sini, hari ini.

“Analisis SWCORP turut mencatatkan jumlah makanan tersebut boleh dihidangkan kepada 180 juta orang iaitu hampir enam kali ganda melebihi populasi rakyat Malaysia,” katanya.

Sewajarnya bulan Ramadan mendidik umat Islam berjimat cermat tetapi yang berlaku adalah sebaliknya apabila masyarakat sanggup berbelanja besar untuk waktu berbuka namun bila sudah kenyang makanan tersebut terus dibuang. – WD MY