MARANG, 4 Nov – MAUT….. Empat beranak maut selepas kereta PROTON Iswara dinaiki bertembung dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 33, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di depan Penjara Marang, di sini, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 6.40 petang, semua empat mangsa yang belum dikenal pasti identitinya maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Ketika kejadian, PROTON Iswara terbabit dalam perjalanan dari arah Dungun ke Marang, manakala bas terbabit dari arah bertentangan.

Kejadian dipercayai berlaku apabila bas persiaran terbabit dipercayai terbabas ke laluan kanan jalan, sebelum bertembung dengan kereta terbabit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Hassan Embong berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6.46 petang.

“Enam anggota dan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Kita sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta dan ia dijangka memakan masa agak lama berikutan keadaan kereta yang remuk teruk,” katanya. – WD MY