MANILA, 20 Sept – CADANGAN….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata kerajaan Malaysia mengemukakan empat cadangan memerangi pengganas jenayah rentas sempadan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-11 dan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Kebangkitan Radikalisasi dan Keganasan Melampau (SAMMRRVE).

Beliau berkata, cadangan membabitkan penganjuran Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya, Memerangi Jenayah Pemerdagangan Manusia, Pengubahan Wang Haram dan Penyeludupan Manusia.

Semua cadangan itu membabitkan usaha bersepadu negara anggota ASEAN dalam memerangi keempat-empat permasalahan berbangkit.

“Untuk tujuan itu, Malaysia akan menganjurkan Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya pada 4 hingga 6 Januari tahun depan dalam usaha memerangi keganasan melalui perspektif dakwah dan kesederhanaan.

“Program ini membabitkan 300 peserta dengan keutamaan kepada negara anggota, selain negara yang menghadapi permasalahan jenayah rentas sempadan.

“Kita juga bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Arab Saudi, Rabitah Al-Alam Al-Islami, bagi penganjuran dialog itu menerusi pendekatan secara berdakwah untuk menangani isu keganasan.

“Kedua, memperkukuhkan kerjasama dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia dengan Malaysia kini mencapai penilaian Tier Dua berdasarkan Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat dan menyasar penilaian Tier Satu menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas majlis perasmian AMMTC Ke-11 dan SAMMRVE yang disempurnakan Pemangku Setiausaha Dalam Negeri dan Kerajaan Tempatan Filipina merangkap ketua delegasi Filipina, Catalino S Cuy, di Hotel Conrad Manila, hari ini.

Pada majlis itu, Malaysia yang diwakili Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyerahkan tugas Pengerusi AMMTC Ke-11 kepada Filipina selepas dua tahun memegangnya.

Selesai majlis itu, Timbalan Perdana Menteri mengadakan pertemuan dua hala bersama Timbalan Menteri Keselamatan Awam Vietnam, Le Quy Vuong, sebelum menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Kedutaan Malaysia di Manila.

Yang turut hadir, Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Raszlan Abdul Rashid.

Mengenai pengubahan wang haram, Ahmad Zahid turut memaklumkan ahli mesyuarat itu Bank Negara Malaysia akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Memerangi Pembiayaan Keganasan, November ini.

“Fokus adalah terhadap usaha sama dalam kalangan negara anggota bagi memerangi pengubahan wang haram, sekali gus menunjukkan komitmen tinggi kerajaan memerangi jenayah itu dapat diterjemahkan.

“Cadangan keempat membabitkan penyeludupan manusia dengan Malaysia sebagai pemimpin kepada komponen ini sejak dua tahun lalu mencadangkan untuk mengadakan program kerja bagi menangani isu terbabit,” katanya. – WD MY