Empat Datuk Antara Ditahan SPRM

0
73

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ditahan….. Empat bergelar Datuk antara enam ditahan kerana disyaki menyalahguna kuasa dengan mendaftar kira-kira 450 ahli koperasi sebuah syarikat berkaitan kerajaan dalam syarikat jualan langsung (MLM).

Mereka yang ditahan adalah pengerusi dan ahli lembaga koperasi berkenaan yang dipercayai terbabit dalam dua kes yang dikatakan meraih keuntungan peribadi yang lumayan.

Turut ditahan adalah setiausaha dan bendahari koperasi serta seorang individu daripada syarikat pembekal.

Seorang isteri kepada seorang ahli lembaga koperasi turut ditahan.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kira-kira 450 ahli berkenaan adalah peminjam koperasi, tetapi akibat salah laku pihak terbabit, mereka didaftar dalam sebuah syarikat MLM tanpa kebenaran.

Katanya, perbuatan itu terbongkar apabila komisyen ratusan ribu ringgit diraih oleh ahli lembaga berkenaan.

“Mereka memperdayakan tidak kurang daripada 450 ahli koperasi yang diletakkan di bawah naungan mereka sehingga berjaya menghasilkan komisyen ratusan ribu ringgit ke atas ahli lembaga berkenaan.

“Memburukkan keadaan, ahli koperasi itu tidak mengetahui pinjaman itu diguna untuk melabur di dalam syarikat MLM kerana ia didaftarkan di bawah nama ahli lembaga itu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, SPRM turut mengesan suspek terbabit dalam isu rasuah dan salah guna kuasa apabila dipercayai berpakat dengan sebuah syarikat pembekal barang keperluan ahli koperasi.

“Koperasi membeli barangan daripada syarikat pembekal dan kemudian menjual semula kepada pembekal sama.

“Transaksi ini dipercayai berlaku hanya di atas kertas iaitu apabila ahli koperasi mahu membeli barangan terbabit, mereka terpaksa membuat pinjaman koperasi sebelum syarikat pembekal menjual semula barangan itu.

“Syarikat pembekal juga akan mengeluarkan invois tuntutan bayaran kepada koperasi itu,” katanya.

Selain itu, kegiatan rasuah disyaki berlaku apabila pembekal menjual pada harga yang tinggi kepada koperasi sehingga membolehkan pembekal menggunakan sebahagian keuntungan untuk diberikan kepada ahli lembaga koperasi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Azam Baki, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

SPRM dijangka memohon reman ke atas semua suspek, esok. – WD MY