JOHOR BAHRU, 9 Mac – Dibebaskan……Empat individu termasuk anak dan pegawai khas seorang EXCO kerajaan negeri yang ditahan berhubung skandal rasuah hartanah Johor, dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Terdahulu, keempat-empat suspek lelaki itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini, pada jam 9.28 pagi menaiki empat kereta berasingan dengan diiringi Pegawai SPRM.

Mereka kemudian dibawa masuk ke Kamar Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Johor Bahru, Saba’aton Daud.

Saba’aton membenarkan permohonan SPRM melepaskan keempat-empat suspek dengan jaminan selepas tempoh reman 14 hari berakhir hari ini.

Dua pemaju yang sebelum ini turut ditahan bersama empat suspek terbabit pada 24 Februari lalu, dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 3 Mac lalu.

Selain menahan suspek untuk membantu siasatan, SPRM turut merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi dan wang tunai RM500,000.

Selain itu, akaun bank bernilai RM15.5 juta turut dibekukan. – WD MY