KUALA LUMPUR, 15 Jan – UMUM….Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan empat insentif yang bakal memberi manfaat kepada 123 ribu orang pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara.

Beliau berkata kerajaan akan memperuntukkan RM3 juta kepada Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) setiap tahun bagi tempoh tiga tahun akan datang bermula tahun ini.

“Kerajaan juga bersetuju untuk menyediakan kuota khas bagi pesara-pesara PDRM menunaikan fardu haji yang bilangannya akan ditentukan dan diumumkan kemudian.

“Selain itu, pihak kerajaan juga bersetuju untuk memperuntukkan sejumlah bilangan daripada 10 ribu unit projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) kepada golongan pesara.


“Bahagian hal ehwal veteran polis akan disusun semula dan akan membuka cawangan di setiap negeri untuk memudahkan proses menjaga kebajikan para pesara,” katanya ketika berucap Majlis Perjumpaan Pesara-pesara Polis hari ini.

 hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun; dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar.

Tambahnya, walaupun insentif yang diumumkan kerajaan itu tidak mampu membalas jasa pengorbanan yang telah dilakukan oleh para pesara, namun ia sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada golongan itu.

Ketika berucap pada majlis yang dihadiri oleh kira-kira 5 ribu pesara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada bekas anggota badan keselamatan tersebut kerana setia menyokong pentadbiran kerajaan daripada dahulu sehingga kini.

“Jangan hiraukan siapa di kiri dan di kanan kita. Kita mesti setia dan taat dengan perjuangan kita. Kesetiaan kepada negara, agama, rakyat. Inilah kesetiaan yang tidak boleh dipandang ringan.

“Walaupun sudah bersara, tidak memakai seragam PDRM, ingat janji dan sumpah yang telah kita lafazkan. Bukan bila dah bersara, hilang segala sumpah dan janji. Selagi nyawa dikandung badan, berjuang keran ia merupakan tugas kita.

“Apabila bersara, adakah perjuangan itu habis? Tidak…perjuangan masih diteruskan. Terima kasih kepada semua pesara PDRM kerana setia bersama saya, (Datuk Seri) Zahid, rakyat dan negara kerana setia sepanjang hayat,” katanya.

Pada majlis yang sama, Najib turut menyampaikan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) kepada 13 orang pesara PDRM di atas sumbangan dan pengorbanan mereka semasa bserkhidmat bersama PDRM dan negara. – WD MY