KUALA LUMPUR, 1 Nov – Naik Tol……. Empat lebuh raya berhak menerima kenaikan kadar tol, menjelang tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Selaras dengan perjanjian konsesi, ia merangkumi Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

“Anggaran jumlah pampasan tol pada tahun 2017 bagi empat lebuh raya berkenaan adalah RM59.77 juta,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Lim Guan Eng (DAP-Bagan), di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadillah berkata perjanjian konsesi asal Lebuhraya PLUS yang dimeterai pada 1988 sepatutnya tamat pada 2018. Bagaimanapun, katanya, ia terpaksa ditangguhkan berikutan tiga penstrukturan semula kadar tol Lebuhraya PLUS yang dilaksana kerajaan pada 1999, 2002 dan 2011.

“Selepas penyelarasan, semua konsesi tol lebuh raya di bawah syarikat PLUS Berhad, termasuk Lebuhraya Utara Selatan akan berakhir pada 31 Disember 2038,” katanya.