KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Perkhidmatan bas henti-henti MyBAS menerusi
Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti (SBST) akan diperluaskan
kepada empat lagi lokasi selepas ia dimulakan di Kangar, Perlis pada 1 Ogos
lepas.

Empat lagi lokasi itu ialah Seremban di Negeri Sembilan; Ipoh, Perak; Kuala
Terengganu, Terengganu dan Kuching, Sarawak dengan peruntukan keseluruhan
sebanyak RM100 juta.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed
Hamid Albar, perkhidmatan MyBAS itu yang dilaksanakan menerusi skim SBST ialah
untuk menggantikan Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti (ISBSF) yang bermula
pada 2012.

“Namun begitu, dana sementara ISBSF ini akan diteruskan sehingga Jun 2016
kerana saya tengok ada keperluan untuk diteruskan sebelum kita laksanakan skim
kekal iaitu SBST…kita tidak mahu syarikat-syarikat bas ini berhenti beroperasi
kerana kerugian.

Setakat ini, Perlis telah memulakan operasi MyBAS pada 1 Ogos lepas dan
akan diikuti di Seremban yang dijangka bermula pada bulan depan (Sept). Tiga
lagi lokasi akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat sehingga akhir
tahun ini,” katanya pada sidang media pembayaran dana sokongan ISBSF kepada
pengendali bas dari seluruh negara di sini, hari ini.

Syed Hamid turut menyampaikan replika cek kepada 11 wakil pengendali bas dengan
jumlah RM10.3 juta.

“Pada bulan Ogos ini, sebanyak RM17.7 juta telah dibayar kepada pengendali
bas henti-henti di bawah ISBSF dan hari ini sebanyak RM10.3 juta telah dibayar,
menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM28 juta dana untuk 172 pengendali bas
dari seluruh negara.

“Dana sementara ini diberikan untuk membantu pengendali bas henti-henti yang
terjejas ekoran daripada operasi yang tidak menentu. Oleh itu, setiap syarikat
akan diberikan dana berdasarkan laluan dan sekiranya setiap laluan tidak ramai
penumpang yang menaiki bas, dana tersebut boleh tampung,” katanya.

Tambah Syed Hamid lagi, dana SBST itu diberikan untuk laluan tertentu
sahaja dan tidak merangkumi keseluruhan laluan.

“Laluan ini bukan merangkumi keseluruhan negeri yang terlibat…hanya laluan
tertentu sahaja dan saya berharap supaya kerajaan akan membenarkan kita
(mendapat dana) tampung semua (laluan),” katanya.

Beliau berkata SPAD menyasarkan perkhidmatan MyBAS dapat dilaksanakan di
seluruh negara dengan jangkaan peruntukan melebihi RM1 bilion setahun.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY