KUANTAN, DISEMBER 9: MAUT… Empat orang termasuk dua beradik maut setelah kereta Perodua Viva dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 131.2 Jalan Kuantan-Johor Bahru di Rompin dekat sini, pagi ini.

Mereka yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu ialah pemandu Perodua Viva yang merupakan seorang akauntan, Mohamad Syahmi Emir Mohd. Rawi dan penumpang hadapan, Nur Diana Afifah Hasnulhady juga bekerja sebagai akauntan.

Dua lagi yang maut adalah pasangan adik beradik yang duduk di belakang, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, dan Yasmin Aliah, 12.

Pemandu dan 30 penumpang bas ekspres itu tidak mengalami kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, bas ekspres dari arah Kuantan ke Johor Bahru itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Perodua Viva di lokasi kejadian.

“Kedua-dua kenderaan diseret sejauh lebih kurang 30 meter dan jatuh ke dalam parit sebelah kanan jalan menuju ke Kuantan.

“Pemandu dan tiga penumpang Perodua Viva maut di tempat kejadian manakala pemandu bas ekspres bersama 30 orang penumpang tidak mengalami kecederaan. Mangsa dibawa ke Hopital Rompin untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.

Kamarulzaman berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MY WD