KLUANG, 4 Julai – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi berkata beberapa resolusi dicapai dalam Mesyuarat Tergempar
Menteri-Menteri ASEAN di Kuala Lumpur semalam diharapkan akan dapat menangani
isu pemerdagangan manusia di Asia Tenggara.

Menurut beliau empat negara anggota iaitu Thailand, Myanmar, Indonesia dan
Malaysia sendiri pada mesyuarat itu juga bersetuju untuk menyelaraskan tindakan
penguatkuasaan perundangan terhadap ejen dan sindiket pemerdagangan manusia.

Sementara negara-negara lain memberi sokongan sepenuhnya terhadap usaha
pencegahan pemerdagangan manusia serta perlakuan jenayah rentas sempadan,
katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni
Di Dalam Bulan Ramadan di Penjara Simpang Renggam, semalam.

“Kami akan ambil beberapa tindakan penguatkuasaan perundangan terutama dari
segi pelaksanaan sistem biometrik (cap jari) terhadap mangsa pemerdagangan.

“Selain itu, hukuman paling berat juga akan dikenakan terhadap ejen-ejen
dan sindiket yang membawa mangsa-mangsa ini,” katanya.

Ahmad Zahid yang mewakili Malaysia dan mempengerusikan mesyuarat itu turut
meluahkan kekecewaan dengan sikap komuniti antarabangsa yang meletakkan
kesalahan kepada negara yang menerima mangsa pemerdagangan manusia dan bukan
negara sumber yang menjadi punca masalah itu.

“Masyarakat antarabangsa mendakwa kononnya negara-negara ini tidak memberi
perlindungan atau apa jua bentuk bantuan lain yang diperlukan mangsa.

Beliau berharap dengan pelaksanaan resolusi itu, komuniti antarabangsa akan
berhenti membuat andaian sedemikian.

“Mereka (komuniti antarabangsa) tidak menyalahkan negara-negara sumber yang
menyebabkan isu itu berlaku sedangkan kalau dilihat, kebanyakan sindiket
pemerdagangan manusia berada di Teluk Benggal,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY