NILAI, 22 Jan – PARAH…….. Empat lelaki parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah motosikal di depan Kolej Tuanku Ja’afar, Mantin, malam tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mantin, Pegawai Bomba Kanan II Abd Razak Abd Rahman, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada jam 9.10 malam sebelum menghantar sebuah jentera dengan sepasukan enam anggota ke lokasi kemalangan.

“Pemandu kedua-dua kereta yang masing-masing berusia dalam lingkungan 50-an cedera parah dengan seorang daripada mereka tersepit di dalam keretanya yang remuk.

“Penunggang serta pembonceng motosikal berusia lingkungan 20-an itu juga cedera parah dan semua dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut,” katanya malam tadi.

Beliau berkata, isteri dan anak lelaki berusia 11 tahun kepada seorang pemandu kereta terbabit bagaimanapun hanya cedera ringan. – WD MY