KUALA LUMPUR, 15 FEB – BERSARA WAJIB….Empat pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bersara wajib secara berperingkat mulai Mac ini dan bukannya meletak jawatan serentak seperti yang didakwa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata proses berkenaan adalah prosedur biasa bagi penjawat awam.

“Antara pegawai yang akan bersara dalam masa terdekat ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd pada 15 Mac dan diikuti saya sendiri pada dua hari kemudian.

“Selain itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh akan bersara pada April ini diikuti Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Mei ini,” katanya pada Majlis Penutup Kolokium Kaunselor PDRM 2019, di Kuala Lumpur hari ini.

Baru-baru ini, tersebar khabar angin menerusi aplikasi WhatsApp yang mengatakan empat pegawai kanan itu akan meletak jawatan secara serentak dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai laporan polis oleh Dewan Pemuda PAS mendakwa DAP menerima dana asing, Noor Rashid berkata tiada tindakan akan diambil sekiranya dana yang diterima itu tidak berkaitan dengan sebarang kesalahan jenayah.

Terdahulu, seramai 70 pegawai polis dari seluruh negara yang menyertai kolokium selama dua hari itu diiktiraf sebagai kaunselor PDRM.

Noor Rashid berkata kesemua pegawai yang kebanyakannya bertugas di bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard itu bertanggungjawab memberikan khidmat kaunseling kepada warga PDRM yang telah dikenal pasti menghadapi masalah tekanan di sesuatu kontinjen.

Beliau berkata setakat ini tahap depresi dalam kalangan anggota dan pegawai polis tidak terlalu tinggi namun kolokium kaunselor yang julung kali diadakan itu perlu dijadikan program tahunan bagi meningkatkan kepakaran pasukan itu dalam bidang berkenaan. – WD MY