BATU PAHAT, 16 Okt – HILANG….. Empat pelajar Tingkatan Dua yang beriadah di Hutan Lipur Gunung Soga, dekat sini, dilaporkan hilang sejak lewat petang semalam.

Kehilangan pelajar berkenaan diketahui jam 7.15 malam apabila seorang mangsa, Mohd Amir Haziq Iqramudin, 14, menghubungi rakannya menyatakan mereka sesat dan tidak dapat cari jalan keluar.

Seorang lagi mangsa dikenal pasti sebagai Mohd Azrul Azizi, 14.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata dua lagi mangsa yang hilang belum dapat dikenal pasti dan mereka adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bentara Luar Batu Pahat, dekat sini.

Katanya, Mohd Amir Haziq sempat menghantar lokasi terakhir kepada seorang kawannya yang tinggal di Bukit Perdana dan usaha menjejaki lokasi itu sedang dijalankan.

“Pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan dari rakan mangsa yang memaklumkan sekumpulan empat pelajar hilang dan sesat di Hutan Lipur Gunung Soga sejak semalam.

“Mulai jam 8 malam tadi operasi mencari dan menyelamat digerakkan membabitkan seramai 20 anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), 12 anggota bomba dan penyelamat, tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain orang kampung.

“Seramai empat anggota Bomba dan Penyelamat, tiga anggota PDRM dan tiga orang kampung turut menaiki dan menjejaki mangsa di puncak Gunung Soga dan operasi masih diteruskan hingga kini,” katanya. – WD MY